HomeBeritaViral'Sendiri buat undang-undang, sendiri langgar', pihak penguat kuasa dikecam langgar garisan putih

‘Sendiri buat undang-undang, sendiri langgar’, pihak penguat kuasa dikecam langgar garisan putih

CYBERJAYA: Situasi orang awam yang melanggar undang-undang jalan raya, sebelum dikenakan tindakan saman dilihat sebagai perkara normal dan menjadi lumrah buat setiap negara.

Namun, timbul persoalan baru-baru ini apabila pihak penguatkuasa yang sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada masyarakat bertindak sebaliknya, dengan melakukan kesalahan di jalan raya.

Menerusi sebuah gambar yang tular sejak Khamis, seorang individu yang dipercayai anggota polis dan menunggang motosikal dilihat memberhentikan kenderaannya melebihi garisan putih.

Tidak dapat dipastikan masa dan lokasi sebenar, namun perkara itu berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat merah.

Pada 20 September lalu, seorang individu dikenali sebagai Haffiz Hassan turut berkongsi mengenai situasi sama.

Kali ini, kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberhentikan kenderaannya melepasi garisan putih di sebuah persimpangan lampu isyarat.

“Lebih garisan putih. Sendiri cipta undang-undang, tapi sendiri langgar. Serupa ketam nak betulkan orang tapi sendiri haru.

“Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Traffic light warna merah ye. Jangan cakap dah hijau okay,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam dan sempat ‘membahan‘ tindakan anggota penguatkuasa berkenaan.

Tulis Aleng Yuzra: “Eloknya up sekali nombor plat. Masa dan tempat kejadian baru dia tahu apa rasanya. Kalau tak ada bukti gambar plat, masa dan tempat, hujung-hujung senang je dia boleh claim gambar lama.”

Tambah Normala Norman: “Ketuk pintu bagi salam tegur. Tuan, kereta dah melebihi garisan putih. Sila undur nanti kena saman. Hati-hati banyak kereta dekat belakang.”

Ujar Zu Jelani: “Sendiri cipta undang-undang, sendiri langgar. Kalau sendiri tak hormat diri sendiri apatah lagi orang lain.”

Bukan itu sahaja, ada juga yang menyeru JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kedua-dua pihak berkuasa itu mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

MEDIA VARIASI sudah pun menghubungi pihak JPJ bagi memberi penjelasan berkaitan perkara itu, namun masih belum ada sebarang respons setakat ini.

Sebelum ini, Op Garisan Putih antara operasi yang dilaksanakan menerusi Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara bermula 28 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar dilapor berkata, sebahagian daripada operasi yang dijalankan itu adalah mengikut Kaedah 38 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN166/1959), iaitu tidak boleh memberhentikan kenderaan di lintasan garisan putih.

Mohd Nasri berkata, peruntukan undang-undang itu menyatakan bahawa, pemandu tidak boleh menyebabkan kenderaan atau mana-mana bahagian kenderaannya berhenti di dalam kawasan lintasan.

“Ia berkecuali apabila dia dilarang daripada bergerak oleh keadaan di luar kawalannya atau jika perlu baginya untuk berhenti bagi mengelakkan kemalangan,” beliau dilaporkan berkata.

Katanya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

 

Author

Pilihan Editor