PEMAIN bola sepak wanita Sepanyol, Jenni Hermoso secara rasmi telah membuat aduan jenayah terhadap ketua persekutuan bola sepak negara itu, Luis Rubiales, yang dituduhnya melakukan salah laku seksual selepas mencium bibirnya selepas kemenangan Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita. Rubiales sejak itu telah digantung atas dakwaan itu, tetapi dia menegaskan ciuman itu adalah atas kerelaan.
Hermoso membuat aduan awal minggu ini, kata pendakwa raya Sepanyol pada Rabu, sambil menyatakan bahawa kes itu akan diteruskan “secepat mungkin.” Mahkamah Tinggi Sepanyol sebelum ini berkata, ketua persekutuan itu boleh menghadapi pertuduhan serangan seksual, yang membawa hukuman penjara sehingga empat tahun.
Selain penggantungan 90 hari daripada FIFA, badan induk dunia dalam bola sepak, Rubiales juga sedang disiasat kerana “salah laku serius” oleh mahkamah sukan tertinggi Sepanyol berhubung ciuman itu.
Rubiales memegang kepala Hermoso dan mencium bibirnya semasa majlis anugerah selepas kemenangan Sepanyol ke atas England dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita akhir bulan lalu. Presiden persekutuan kemudian menegaskan ciuman itu “spontan, bersama-sama, euforia dan atas kerelaan.” Hermoso, bagaimanapun berkata, interaksi itu membuatkan dia berasa “lemah dan seperti mangsa serangan seksual.” Dia menambah bahawa “tindakan impulsif, macho” Rubiales berlaku dengan “tiada sebarang persetujuan di pihak saya.”
Walaupun pendakwa raya sebelum ini menyatakan mereka menerima tidak kurang enam aduan rasmi berhubung kejadian itu, sehingga Selasa tidak ada yang datang dari Hermoso. Dengan kesnya difailkan, pertuduhan jenayah kini boleh diteruskan sekiranya mahkamah memilih untuk meneruskannya. Mahkamah Tinggi akan mengetuai sebarang litigasi, kerana salah laku yang didakwa berlaku di luar negara, di Australia.
Sebagai tindak balas kepada skandal itu, naib presiden persekutuan bola sepak Sepanyol, Rafael del Amo, serta 11 anggota kejurulatihan pasukan wanita Sepanyol meletak jawatan, manakala Hermoso dan rakan sepasukannya yang memenangi Piala Dunia berkata, mereka tidak akan mewakili pasukan kebangsaan sekali lagi sehingga Rubiales berundur dari kedudukannya. Bagaimana pun, beliau setakat ini enggan meletak jawatan.
Ketua jurulatih pasukan wanita Sepanyol dan sekutu rapat Rubiales, Jorge Vilda, telah dipecat pada Selasa, dengan persekutuan berkata, dia telah digantikan oleh Montse Tome, wanita pertama yang menguruskan pasukan itu. Walaupun badan itu tidak memberikan penjelasan segera untuk keputusan itu, Vilda adalah antara yang pertama mempertahankan Rubiales di tengah-tengah dakwaan serangan seksual, mengatakan dia adalah mangsa kempen fitnah oleh “feminis palsu.” Bagaimanapun, dia kemudiannya menukar pendirian dan meminta maaf. – RT