CYBERJAYA: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak membuka mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank baru-baru ini.
Jika sebelum ini ia sering dibuka oleh individu terlatih sambil diiringi pengawal keselamatan bersenjata, namun lelaki yang tidak berbaju dan berseluar pendek itu mampu membukanya seorang diri tanpa sebarang peralatan khas.
Turut kelihatan berhampiran dengan lelaki itu hanyalah sebotol air semburan, dipercayai digunakannya untuk membuka mesin tersebut.
Anehnya, selepas mesin itu dibuka separuh jalan, lelaki berkenaan bertindak menutupnya semula.
Sampah-sarap yang berada di dalam tong sampah bank itu juga dilihat bertaburan di atas lantai.
Lelaki tersebut yang kemudian dilihat mahu beredar tidak dapat berbuat demikian kerana terperangkap di dalam premis berkenaan, yang sudah menutup operasinya pada waktu malam.
Pada masa sama, aksi lelaki itu sempat dirakam oleh orang ramai, yang berada di luar bank berkenaan dipercayai berlaku di ibu negara.
Tidak dapat dipastikan masa sebenar, namun video memaparkan kejadian itu berlegar-legar di media sosial termasuk di laman XÂ @nanmanjoi8715 sejak Khamis.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.