CYBERJAYA: Tiada keperluan untuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan atau turun ke jalan raya, sekiranya tiada penjelasan berhubung kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar MUDA untuk terus menarik sokongan ke atas Kerajaan Persekutuan.
Apatah lagi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, MUDA secara tidak rasmi sudah pun keluar dari Kerajaan Perpaduan.
“MUDA tanding solo di PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri. Semua hilang deposit. MUDA yang langgar ‘red line’, ” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Puad memberi amaran kepada MUDA untuk tidak menjadikan kes Ahmad Zahid sebagai ugutan agar parti itu diterima masuk ke Pakatan Harapan (PH).
“Tunggu penjelasan apa lagi. Rupanya MUDA juga malas baca 11 alasan Pendakwa Raya.
“Daripada ugut kerajaan hilang majoriti dua pertiga, elok Syed Saddiq (Presiden MUDA) kosongkan kerusi (Parlimen Muar).
“Bolehkah Muar dan Puteri Wangsa menang tanpa sokongan PH. Confirm tidak berani. Cuma mengugut,” katanya.
Terdahulu, MUDA memberi amaran untuk menilai sokongan terhadap kerajaan serta turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Ahmad Zahid.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) ke atas Ahmad Zahid menunjukkan bahawa ‘red line’ (batasan) terbesar sudah dilanggar.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan DNAA terhadap Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding.