SEORANG lelaki berusia 25 tahun maut sewaktu dia melakukan senaman di sebuah gimnasium di wilayah Hubei, Wuhan, China.
Kejadian tragis itu berlaku ketika Zhang cuba mengangkat barbell seberat 100 kilogram, yang malangnya terjatuh ke lehernya dan memerangkapnya. Walaupun dia berusaha melepaskan dirinya, Zhang gagal sehingga kakitangan gimnasium datang membantunya.
Malangnya, walaupun mereka berjaya melepaskanya dan membawanya terus ke hospital, Zhang tidak dapat diselamatkan. Kematian yang tragis itu berlaku pada petang pada 14 September.
Sesi senaman itu dirakam oleh Zhang sendiri, memaparkan pada mulanya dia duduk di bangku angkat berat, bersiap untuk mengangkat barbell berat secara menegak.
Bagaimanapun, dia gagal mengangkat barbell itu menyebabkan lengannya menggeletar teruk. Dalam sekelip mata, barbell itu terlepas dari dadanya dan jatuh ke lehernya. Zhang berusaha untuk mengangkat barbell dan meletakkannya di rak pemberat, tetapi tidak berhasil. Dia terus berjuang untuk hidupnya, cuba membuka tali pinggang angkat beratnya, tetapi berat barbell itu terlalu berat untuknya.
Menjelang penghujung video berdurasi 29 saat itu, Zhang menggunakan kekuatan terakhirnya untuk mengangkat kakinya, dengan harapan untuk menolak barbell itu, tetapi peralatan itu tetap tidak bergerak, masih menekan lehernya.
Lebih dua setengah minit berlalu sebelum sesiapa menyedari Zhang berada dalam bahaya. Dua pekerja gim kemudiannya bergegas untuk mengangkat barbell daripadanya dan segera membawanya ke hospital, tetapi dia kemudiannya meninggal dunia.
Jurucakap Pacific Fitness Club, gim tempat kejadian itu berlaku, tidak menjelaskan mengapa tiada kakitangan mengawasi Zhang semasa dia menggunakan peralatan angkat berat berisiko tinggi itu. Polis sedang menyiasat kejadian itu untuk menentukan sama ada gim itu cuai dalam tugasnya.
Insiden ini menambah senarai tragedi gim yang semakin meningkat. Seorang ahli bina badan muda sebelum ini meninggal dunia akibat kecederaan selepas barbell seberat 210 kilogram menimpanya, menyebabkan lehernya patah, lapor Khaosod.