KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berkunjung ke sebarang premis makanan yang tiada sijil halal, kata Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Justeru, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, masyarakat Islam perlu memastikan sama ada restoran yang dikunjungi memiliki mana-mana sijil halal sama ada dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama Islam negeri.
“Oleh itu, ia adalah saranan saya kepada umat Islam berkaitan isu halal kerana makanan halal sangat penting.
“Makanan yang kita makan kalau tak halal akan turut membentuk darah daging kita.Jadi, lebih baik kita bersikap berhati-hati,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Tabung Haji (TH) Khairat, di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihaknya setakat ini tiada maklumat mengenai aduan premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal.
Beliau berkata, perolehan sijil halal bagi sesebuah premis bukanlah satu mandatori dan tiada sebarang paksaan, namun mana-mana individu atau pemilik restoran digalakkan untuk membuat permohonan tersebut kepada JAKIM.
“Kalau sesebuah restoran ada sijil halal, masyarakat akan yakin dan lebih mudah menentukan makanan halal. Apabila terpapar logo halal JAKIM, maka mereka akan masuk ke dalam premis tersebut.
“JAKIM nak menggalakkan permohonan seramai yang mungkin untuk mendapatkan sijil halal tersebut,” tambahnya.
Bagi mengetahui status halal, orang ramai boleh layari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/
Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)
Terdahulu, sebuah restoran nasi ayam ‘claypot’ yang tular di media sosial yang didakwa menggunakan bahan tidak halal bukan pemegang SPHM yang sah.
Menurut JAKIM, pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut.
Sebelum ini, seorang pempengaruh membuat ulasan makanan nasi ayam ‘claypot’ yang dijual peniaga tersebut di sebuah restoran.
Difahamkan, peniaga itu mendakwa, makanan yang kebiasaannya dimakan oleh kaum Cina itu dijadikan versi halal supaya pelanggan beragama Islam turut dapat menikmatinya.
Bagaimanapun, peniaga itu sebelum ini didakwa telah menggunakan bahan tidak halal di dalam masakannya, iaitu wain untuk memasak sebelum menukar bahan itu kepada minyak bijan sebaik sahaja restorannya tular.