HomeBeritaMahkamah & JenayahWakil rakyat antara 25 individu bakal beri keterangan himpunan aman

Wakil rakyat antara 25 individu bakal beri keterangan himpunan aman

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil seramai 25 individu untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 22 individu sudah pun dihubungi pihaknya.

Katanya, lima individu berkenaan akan memberi keterangan pada Selasa, manakala seorang lagi akan berbuat demikian lusa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Yang lain itu akan dipanggil kemudian. Banyak juga pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati kepada polis kononnya di bawah akta perhimpunan aman ini, mereka boleh berhimpun dan memiliki hak berbuat demikian.

“Seperti mana dijelaskan saya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain serta Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid sebelum ini, perhimpunan memang tidak perlu permit tetapi mereka perlu sampaikan notis lima hari sebelum perhimpunan.

“Apabila notis itu dihantar, ada kira-kira 14 perkara yang perlu dipatuhi. Ini antaranya meminta kebenaran pemilik kawasan dan dinyatakan secara jelas lokasi perhimpunan. Syarat-syarat itu telah dilanggar dan kita akan ambil tindakan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Himpunan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu bermula di Masjid Jamek Kampung Baru, sekitar jam 1.15 petang dan berakhir pada jam 3.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo.

Difahamkan, antara inividu yang bakal dipanggil beri keterangan termasuklah Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.

Tanpa mendedahkan nama individu yang bakal dipanggil itu, Ayob berkata, antara mereka yang akan berbuat demikian adalah seorang wakil rakyat serta seorang individu bergelar Datuk.

“Terdapat beberapa kesalahan yang boleh diambil tindakan. Pertamanya di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kerana tiada pemberitahuan mengenai perhimpunan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 4(2)(b) kerana berhimpun di kawasan larangan iaitu masjid dan Seksyen 4(2)(E) kerana membawa kanak-kanak bagi menyertai perhimpunan,” tegasnya.

Pada masa sama, Ayob turut menempelak individu bergelar ‘Yang Berhormat’ yang menggunakan pelbagai alasan termasuk Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak asasi berhimpun, bagi mewajarkan perbuatan mereka.

“Kena tengok juga Artikel 10(2) Perlembagaan Persekutuan yang mana setiap kebebasan untuk berhimpun, berucap dan sebagainya, ada had yang pelru dipatuhi. Kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan serta ketenteraman awam.

“Undang-undang ini untuk dipatuhi dan digubal dalam Parlimen oleh ‘Yang Berhormat jugalah tetapi kalau ‘Yang Berhormat’ tak boleh tunjuk satu contoh baik kepada masyarakat, bagaimana masyarakat nak patuhi undang-undang? Tak guna buat undang-undang tetapi kita tak patuhinya,” katanya.

Sementara itu, Ayob turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang dikatakan mahu mengadakan perhimpunan seumpamanya sekali lagi selepas ini.

“Saya difahamkan ada juga khabar angin mengatakan mereka nak buat lagi perhimpunan. Kami akan ambil tindakan tegas dan jangan nak banding-bandingkan dengan kejadian dulu-dulu.

“Sekarang ini kalau buat saja perkara langgar undang-undang, kita akan tangkap tanpa mengira siapa pun. Jangan bandingkan dulu dan sekarang kerana kami akan bertindak tegas bagi memastikan perkara sebegini tidak ‘merebak’,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor