KUALA LUMPUR: Indeks pencemaran udara (IPU) kategori tidak sihat melebihi 101 di Semenanjung direkodkan meningkat kepada 15 kawasan sehingga jam 8 pagi hari ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU paling tinggi setakat pagi ini iaitu 164.
Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Nilai di Negeri Sembilan dengan bacaan pada tahap 163; Seremban dan Shah Alam pada tahap 158; Putrajaya, Petaling Jaya dan Banting (157); Port Dickson (156); serta Batu Muda di Kuala Lumpur (154).
Bacaan IPU kategori tidak sihat juga dilaporkan di Bukit Rambai, Melaka, Johan Setia (MCAQM) dan Klang, Selangor pada tahap 153, Alor Gajah (136), Taiping (129) dan Tangkak (107).
Sementara itu, berdasarkan peta taburan IPU di laman sesawang APIMS, sebanyak 46 stesen APIMS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana manakala tujuh stesen lagi mencatatkan bacaan baik.
Sebagai rekod, bacaan IPU sehingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas adalah berbahaya. – Astro Awani