SUNGAI SIPUT: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dijangka tiba di Malaysia tengah malam ini, bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu, berkata fokus kerajaan untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes itu.
“Jadi, itu (Ng) kita serahkan kepada pihak berkuasa, agensi penguat kuasa untuk menjalankan siasatan.
”Ia dalam pengetahuan saya kerana kebanyakan agensi atau institusi terbabit selain daripada Peguam Negara ialah agensi di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri).
“Kalau tiada halangan apa-apa, dia akan sampai negara kita hari ini, tengah malam nanti. Kalau tiada halangan apa-apa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu di sini hari ini. – Berita Harian