KUALA LUMPUR: Batik Air menawarkan tambang istimewa bagi penumpang penerbangan MYAirline yang digantung operasinya buat sementara waktu.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Batik Air berkata, ia menawarkan tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang (RM129); Langkawi (RM159); Kuching (RM199); serta Bangkok (Don Mueang) dan Kota Kinabalu (RM299).
Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air dan Lion Group, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, melihat kesulitan yang dihadapi oleh penumpang, sasaran pihaknya ialah membantu mereka supaya dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan mudah.
“Kami berada di sini untuk menyokong penumpang yang terkesan dalam tempoh ini,” katanya.
Batik Air berkata, penumpang MYAirline boleh melampirkan bukti pembelian tiket awal mereka dan membuat tempahan melalui e-mel kepada mya@batikair.com.my sehingga 30 November ini. – Harian Metro