IPOH: Polis menahan dua penonton perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan itu membabitkan kesalahan membawa barang larangan iaitu pisau, selain kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
“Mereka ditahan kerana membawa barang larangan iaitu pisau dan menghalang tugas penjawat awam,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Perlawanan antara JDT dan Perak FC pada Khamis yang berkesudahan 4-1 bagaimanapun berjalan lancar, serta tidak dicemari insiden luar jangka susulan kawalan ketat polis.
Ratusan anggota dan pegawai polis yang difahamkan sekitar 300 pegawai dan anggota termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), digerakkan bagi mengawal ketat keadaan di stadium itu.
Berlaku kekecohan selepas permainan tamat apabila penyokong tuan rumah membakar kain putih, yang dilukis dengan logo menjadi seakan bendera Israel namun keadaan itu terkawal.
Selain itu, bendera Palestin turut kelihatan dibawa oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Mohd Yusri bagaimanapun menafikan penahanan dua lelaki itu berkaitan dengan insiden membakar logo Israel terbabit.