KAKITANGAN Hospital Naser di Gaza berjaya menyelamatkan nyawa bayi dalam kandungan, selepas ibunya terbunuh dalam serangan udara rejim pengganas Israel di bandar Khan Yunis pada awal pagi Rabu.
Menurut Dr Asa’d a;-Nawajha, wanita yang dikenali sebagai Raneem Hijazi itu dibawa ke hospital tersebut pada sebelah pagi selepas meninggal dunia.
Katanya, kakitangan perubatan segera melakukan pembedahan caesarean dan berjaya menyelamatkan bayi tersebut.
Bayi itu dimasukkan ke dalam inkubator di hospital tersebut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Kami mengalami kisah kemanusiaan tragis yang berulang di Semenanjung Gaza akibat pengeboman Israel,” katanya seperti dilapor WAFA Agency.
Raneem merupakan salah seorang daripada sejuta rakyat Palestin, yang dipaksa meninggalkan kediamannya menuju ke selatan Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang yang kini bergantung kepada inkubator berdepan dengan risiko kematian akibat kekurangan sumber makanan dan bekalan elektrik.
Kira-kira 50,000 wanita hamil berdepan cabaran untuk mendapatkan penjagaan kesihatan akibat serangan ke atas kemudahan kesihatan.