HomeBeritaBelanjawan 2024: RM38.7b peruntukan buat MINDEF, KDN perkasa keselamatan negara

Belanjawan 2024: RM38.7b peruntukan buat MINDEF, KDN perkasa keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM19.7 bilion diperuntukkan buat Kementerian Pertahanan pada tahun depan, meningkat RM2 bilion berbanding tahun ini.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri pula memperoleh peruntukan sebanyak RM19 bilion pada tahun depan, meningkat sebanyak RM500 juta daripada peruntukan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, kerajaan akan memulakan proses perolehan aset baharu termasuk perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Perolehan lain ialah aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), enam Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis.

“Selain itu, ia turut melibatkan kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam, meneruskan perolehan tiga Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia dan perolehan bagi menggantikan aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang twin engine dan lima helikopter ringan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahankan,  di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

Susulan itu, beliau berkata, pada tahun depan, kerajaan akan menambah aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta sembilan kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik di Sabah serta kerja awalan pembinaan dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan di Sabah.

Jelasnya lagi, kerajaan akan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) dan RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.

Author

Pilihan Editor