HomeBeritaBuka bidaan RM40,000, Dr Zulkifli infak jam Rolex untuk Palestin

Buka bidaan RM40,000, Dr Zulkifli infak jam Rolex untuk Palestin

CYBERJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengambil inisiatif menjual jam berjenama Rolex miliknya untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Menurutnya, jam Rolex tersebut merupakan cenderamata yang dihadiahkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz kepadanya pada 2017.

Beliau berkata, jam Rolex tersebut akan dijual secara bidaan pada harga bermula RM40,000 dengan kenaikan bermula RM100 ke atas.

“Titah Baginda Raja Salman untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.

“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan bilion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas.

“Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana. Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di komen (akaun X Dr Zulkifli),” katanya menerusi di laman X pada Isnin.

Tambahnya lagi, bidaan ditutup pada 31 Oktober 2023, jam 12.30 tengah malam.

Berkongsi lanjut mengenai pemberian jam tersebut, Dr Zulkifli berkata, ia bermula pada Februari 2017 apabila beliau mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.

Jelasnya, beliau telah diminta oleh Kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan, untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia menyampaikan ucapan di hadapan Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

Beliau berkata, pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia kemudian menghubunginya beberapa hari selepas kunjungan hormat itu dan memaklumkan terdapat cenderamata yang dikirimkan Raja Salman.

“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri. Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor