KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggempur empat premis hiburan milik warga asing di Kompleks Wilayah, Jalan Dang Wangi di sini awal pagi tadi.
Empat pusat hiburan yang dimiliki empat pemilik warga asing ini disyaki menyajikan tarian gelek oleh penari wanita asing untuk pelanggan yang kebanyakannya adalah lelaki warga Bangladesh dan Pakistan.
Serbuan dijalankan jam 2.50 pagi oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, selepas menerima maklumat aktiviti hiburan di kompleks berkenaan yang beroperasi antara empat bulan hingga setahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata faktor utama operasi ini adalah mengenal pasti sekiranya terdapat mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
“Polis menjalankan pemeriksaan terhadap 71 lelaki warga asing dan lapan lelaki tempatan yang juga pelanggan di empat pusat hiburan yang diserbu.
“Turut diperiksa 34 wanita disyaki penari merangkap pelayan pelanggan (GRO) empat pusat hiburan terbabit.
“Hasil pemeriksaan, polis kemudian membuat tangkapan ke atas 37 orang yang didapati melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen,” katanya kepada BH hari ini.
Pusat hiburan amal konsep tabur duit kepada penari wanita di pentas
Fadil berkata, berdasarkan maklumat sumber, premis yang dipercayai menjalankan aktiviti hiburan mereka bermula jam 7 malam hingga jam 7 pagi ini turut disyaki mempunyai konsep hiburan tabur duit kepada penari wanita warga asing atas pentas.
“Sekiranya diberikan bayaran yang lebih tinggi, wanita asing ini sanggup menanggalkan pakaian mereka dan melayani pemberi wang itu tadi,” katanya.
Dakwaan adanya unsur tarian seks mungkin tepat apabila wartawan BH yang turut menyertai operasi bersama D3, JSJ ini melihat dan merakam gambar wang tunai dan wang tiruan yang ditaburkan pelanggan kepada penari atas pentas.
Wang tiruan dalam not RM50 itu adalah sebagai tukaran untuk pelanggan yang membuat bayaran secara atas talian untuk berhibur dan mempunyai nilai sama sekiranya ditukarkan.
Dua pengurus pusat hiburan warga Bangladesh dan seorang pekerja dari negara sama ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55B, Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Seksyen 12(1)(F) Akta Pasport.
Selain itu 33 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan yang merupakan pelanggan premis hiburan berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. – Berita Harian