HomeBeritaDBKL sita 69 ayam hidup di Pasar Borong Selayang

DBKL sita 69 ayam hidup di Pasar Borong Selayang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 69 ayam hidup di Pasar Borong Selayang di sini, pada Jumaat.

Operasi Tindakan Khas Premis Perniagaan itu dilaksanakan melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

“Dalam pemeriksaan bersama pegawai penguat kuasa dan pegawai kesihatan DBKL mendapati, terdapat tujuh aktiviti perniagaan yang beroperasi sebagai pusat penyimpanan dan pemprosesan jualan haiwan (ayam hidup), dikendalikan oleh warga asing dari Myanmar dan aktiviti penjualan sayuran serta buah-buahan.

“Premis-premis ini menimbulkan kekacauan dan mengganggu awam kerana membabitkan isu kekotoran, halangan laluan, lorong belakang dan bau yang busuk di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Persekitaran kotor premis perniagaan yang dijalankan warga asing. -Foto: DBKL

DBKL berkata, tindakan sita dan pindah barangan dibuat membabitkan kesalahan perniagaan di kaki lima premis dan penjaja tanpa lesen daripada penjaja warganegara Myanmar.

Tambah DBKL, tindakan penguatkuasaan dijalankan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit Bangunan 1974.

“Pegawai kesihatan DBKL mengeluarkan empat notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi kesalahan menyebabkan kekotoran di tempat awam dan stor penyimpanan ayam hidup tanpa kebenaran,” katanya.

Premis-premis dikendalikan warga asing itu menimbulkan kekacauan dan mengganggu awam. -Foto: DBKL

Barangan perniagaan dan haiwan yang disita dihantar ke Setor Sitaan DBKL dan Stor Kawalan Pest JKAS untuk proses dokumentasi lanjut.

Pada masa sama, DBKL mengingatkan mana-mana pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selain tidak menimbulkan sebarang kacau ganggu di tempat awam.

Author

Pilihan Editor