KLANG: Dua lelaki ditemui mati lemas di dalam Tasik Bandar Puteri, di sini, pada malam Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.07 malam.
Beliau berkata, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal diterima mangsa yang lemas dikenali sebagai Saravanan, 30 dan Rajakumar, 29,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, anggota Pasukan Penyelamat di Air Pelabuhan Klang dan Shah Alam telah tiba di lokasi pada jam 10.55 malam.
“Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam jarak 10 meter dari tebing dengan kedalaman dua meter pada jam 12 tengah malam,” ujarnya.
Wan Razali berkata, mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.40 tengah malam.