ISKANDAR PUTERI: Dua remaja meninggal dunia selepas kereta Honda Jazz dinaiki dirempuh sebuah kereta Mercedes-Benz yang melanggar arus di Kilometer 6.4 Jalan Ismail Sultan di sini, pada Khamis.
Kejadian pada jam 4.20 pagi itu mengakibatkan pemandu dan penumpang Honda Jazz, Giggs Tan Ka Qing dan Ong Wan Ling masing-masing berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas pemandu Mercedes-Benz tersebut memandu melawan arus sebelum melanggar Honda Jazz berkenaan.
“Akibatnya pemandu dan penumpang Honda Jazz tersebut maut.
“Pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu Mercedes-Benz tersebut bagi tujuan ujian kandungan alkohol atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh berkata, seramai 20 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dari BBP Iskandar Puteri dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.
“Kemalangan mengakibatkan seorang lelaki dan seorang wanita dalam Honda Jazz maut manakala seorang lagi lelaki dalam Mercedes-Benz cedera parah,” katanya.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Tambah beliau, operasi selesai pada jam 6.27 pagi. – Sinar Harian