HomeBeritaGangguan bekalan air di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mulai esok

Gangguan bekalan air di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mulai esok

CYBERJAYA: Sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai jam 9 pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, gangguan itu tercetus susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Menurut Air Selangor, kerja penyelenggaraan dijangka selesai sekitar jam 7 malam pada hari sama.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 10 Oktober 2023.

“Bekalan air juga dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat selepas kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air sudah distabilkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

338 kawasan yang terlibat itu meliputi 37 kawasan di Petaling, 201 kawasan di Kuala Lumpur dan 100 kawasan di Hulu Langat.

Air Selangor turut memaklumkan, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis yang kritikal.

Justeru, syarikat itu menasihatkan pihak yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.

Turut dimaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor