CYBERJAYA: Video tular memaparkan seorang lelaki bergegas memeluk seorang murid lelaki nyata menyentuh hati warga net.
Menerusi perkongsian video TikTok @faizul, kelihatan seorang lelaki berbaju merah menghampiri seorang murid yang merupakan seorang anak yatim lantas memeluk murid tersebut.
Difahamkan, detik indah itu berlaku dalam sebuah ceramah motivasi di sebuah sekolah rendah.
Menurut Faizul, penceramah itu meminta semua murid duduk kecuali yang sudah kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya.
Kelihatan di dalam video itu hanya beberapa murid sahaja yang masih kekal berdiri.
“Bila lihat wajah sorang-sorang pelajar yang sudah tiada ibu atau ayah ni.
“Saya minta teman-teman yang masih ada ibu ayah untuk bangun dapatkan kawan-kawan yang berdiri, kongsikan kasih sayang kepada mereka yang telah kehilangan.
“Tiba-tiba seorang ayah pelajar lain terus meluru ke arah seorang pelajar lelaki. Tanpa diminta, tanpa disuruh.
“Tapi kerana demi kasih dan sayang yang beliau kongsikan dengan anak yang hilang kasih sayang daripada seorang ayah.
“Kasihnya seorang ayah… Walaupun bukan anaknya sendiri,” kongsinya.
Dalam pada itu, Netizen di ruangan komen menjelaskan kejadian itu berlaku pada tahun lepas di Sekolah Kebangsaan Pandaraman Jaya, Selangor.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan terharu dengan tindakan lelaki berbaju merah itu.
“Tapi kenapa cikgu buat macam tu, sedih… kenapa suruh diorang diri… TQ ayah baju merah, walaupun nampak rock tapi hati tu,” kongsi netizen
“Abang ni hebat. Kesimpulan saya: jangan nilai orang dari penampilan fizikalnya. Abang ni sekali tengok macam orang-orang yang kasar tapi dalam hati ada taman,” komen netizen
“Brader… awak seorang yang sangat-sangat hebat. Nilai kasih sayang sangat-sangat tinggi… Semoga Allah berkati dunia akhirat Aamin Ya Rabb,” luah netizen.