HomeGlobal'Gaza kini neraka di Bumi,' kata utusan PBB Palestin kepada Majlis Keselamatan

‘Gaza kini neraka di Bumi,’ kata utusan PBB Palestin kepada Majlis Keselamatan

“GAZA kini neraka di Bumi,” utusan Pertubuhan Badan-badan Bersatu (PBB) Palestin memberitahu sesi tergempar Majlis Keselamatan pada Isnin.

“Menyelamatkan manusia daripada neraka hari ini bermakna PBB menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza,” kata Riyad Mansour dalam ucapannya pada sesi itu, yang diminta oleh Emiriah Arab Bersatu.

Beliau berkata, 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza menanggung penderitaan yang tidak sepatutnya dialami oleh sesiapa, dengan menyatakan “mereka dikepung dan dibom.”

Utusan itu berkata, separuh daripada rumah di Gaza kini rosak atau musnah selepas serangan udara Israel, dengan lebih 1.4 juta orang dipindahkan secara paksa.

“Hampir semua rakyat kami di Gaza kehilangan tempat tinggal,” kata Mansour, sambil menambah bahawa orang ramai tidur di dalam kereta dan di jalanan dan “masih dibunuh ke mana sahaja mereka pergi.”

Beliau berkata, lebih 8,000 rakyat Palestin telah terbunuh setakat ini, termasuk lebih 3,000 di selatan Gaza, di mana beliau berkata, Israel telah memindahkan ratusan ribu orang secara paksa.

“Angka-angka yang mengejutkan ini terus meningkat dengan setiap minit tindakan ditangguhkan untuk menghentikan serangan terhadap rakyat kami,” katanya.

Utusan itu menyeru negara anggota untuk bertindak sekarang, mengatakan rakyat Palestin di Gaza “menghadapi kematian setiap hari dan setiap malam.”

“Selamatkan mereka. Lihatlah mereka sebagai manusia,” rayunya. – Anadolu

Author

Pilihan Editor