HomeBeritaGPMS setuju diskaun PTPTN tak diteruskan

GPMS setuju diskaun PTPTN tak diteruskan

 

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersetuju bahawa tiada keperluan mendesak untuk meneruskan tawaran diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana kelebihan itu kurang dirasai lepasan mahasiswa yang kurang berada.

Timbalan Presiden, Ts Ahmad Thibri Mashri berkata, berbanding tawaran diskaun PTPTN, GPMS ingin kerajaan memberi lebih tumpuan terhadap peruntukan yang dapat menampung bebanan secara langsung terhadap mahasiswa, antaranya membabitkan bantuan tunai, kad buku dan inisiatif dapur siswa.

“Secara asasnya, GPMS sependapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bahawa tiada keperluan mendesak untuk tawaran diskaun PTPTN ini diteruskan.

“Ini kerana, tawaran diskaun sedemikian sudahpun dibuat tahun ini namun peminjam perlu membuat bayaran penuh ataupun sekurang-kurangnya separuh nilai pinjaman.

“Tawaran ini pastinya memberi kelebihan kepada lepasan mahasiswa yang mempunyai status kewangan yang baik ataupun peminjam yang sudah lama tamat belajar dengan simpanan yang tinggi.

“Inisiatif ini malangnya kurang dirasai lepasan mahasiswa yang kurang berada,” katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui tidak bercadang meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Mohamed Khaled bagaimanapun berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Thibri berkata, GMPS meminta kerajaan supaya mewujudkan kembali biasiswa seperti MyBrain melalui Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan bulan ini.

“Selain itu, besar harapan GMPS supaya Belanjawan 2024 meletakkan penambahan nilai biasiswa untuk tawaran sedia ada,” katanya.

Program MyBrain15 ditangguhkan pada tahun 2019, dengan penawaran terakhirnya adalah pada November 2016.

Namun Kementerian Pendidikan masih meneruskan pembiayaan sejumlah 1,606 orang pelajar MyBrain15 yang masih aktif sehingga tamat tempoh penajaan pada tahun 2023. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor