HomeGlobalHamas tak 'goyang' ancaman serangan darat Israel

Hamas tak ‘goyang’ ancaman serangan darat Israel

ANCAMAN rejim pengganas Israel untuk melancarkan serangan darat ke Semenanjung Gaza, langsung tidak menggentarkan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Jurucakap Hamas, Abu Ubaida sebaliknya berkata, pihaknya sudah bersiap sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika serangan itu.

“Ugutan (Israel) untuk melancarkan serangan darat terhadap rakyat kami tidak menakutkan kami dan kami bersedia untuk itu,” katanya seperti dilapor NDTV pada Isnin.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen, beliau berkata, tentera sayap Hamas, Briged al-Qassam berjaya menahan 200 orang sebagai tawanan sejak serangan besar-besaran di Israel pada 7 Oktober lalu.

Menurut beliau, pihaknya akan membebaskan tawanan apabila keadaan sudah pulih seperti sediakala.

Katanya, kira-kira 22 tebusan Israel telah terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza.

Tambahnya lagi, lebih 2,750 orang telah terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.

Sementara itu, Israel mendakwa lebih 1,400 orang telah terbunuh di negara haram itu sejak peperangan bermula minggu lalu.

Jurucakap rejim pengganas Israel, Daniel Hagari pada Isnin berkata, seramai 199 orang menjadi tawanan di Gaza.

Author

Pilihan Editor