JAWATANKUASA Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) memberi amaran bahawa, serangan berterusan rejim pengganas Israel serta kekurangan bahan api akan menjadikan hospital di Semenanjung Gaza umpama kawasan kubur.
“Situasi kemanusiaan di Gaza adalah lebih daripada malapetaka, memandangkan 12 hospital dan 32 pusat penjagaan kesihatan tidak beroperasi akibat kekurangan bahan api atau dibom,” kata Ketua Komunikasi IFRC, Mey Sayegh pada Jumaat.
Tambahnya, kekurangan bahan api juga akan menjejaskan kesihatan orang ramai termasuk berisiko berdepan penyakit dan wabak, serta menjejaskan operasi kemanusiaan di seluruh Gaza.
Sejak permulaan konflik, katanya, IRFC sudah pun membuat rayuan untuk membenarkan kemasukan bantuan bahan api di wilayah itu.
Beliau juga menggesa agar nyawa orang awam yang menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dilindungi, berikutan empat kakitangan Persatuan Bulan Sabit Merah terbunuh ketika bertugas.
Sementara itu, pasukan medik Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berjaya memasuki Gaza buat pertama kali pada Jumaat, sejak Israel melancarkan serangan di wilayah itu pada 7 Oktober lalu.
Pengarah ICRC Wilayah Asia Barat, Fabrizio Carboni berkata, pasukan pembedahan dan bekalan perubatan akan membantu melegakan tekanan melampau dialami doktor dan jururawat Gaza.
“Tetapi akses kemanusiaan yang selamat dan berterusan amat diperlukan.
“Bencana kemanusiaan ini semakin kritikal dari masa ke semasa,” katanya seperti dilapor Press TV.
Serangan udara dilancarkan rejim Zionis setakat ini telah merosakkan enam hospital, sembilan pusat penjagaan kesihatan utama, dan loji penyahgaraman yang membekalkan air bersih kepada 250,000 orang di Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Seramai 3,038 kanak-kanak Palestin kehilangan nyawa secara tragis, menjadikan jumlah angka kematian terkini melebihi 7,400 orang.
PBB pada Jumaat memberi amaran bahawa, ramai lagi rakyat Palestin akan terkorban akibat kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.