HomeBerita'Ini negara Islam, anda siapa halang laungan takbir?'

‘Ini negara Islam, anda siapa halang laungan takbir?’

CYBERJAYA: Beberapa sekatan dibuat oleh penganjur perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ pada Ahad bukan sahaja menyebabkan para peserta kecewa, malah para pemimpin turut meluahkan rasa kesal.

Perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka di ibu negara itu menyaksikan penganjurnya, Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE melarang peserta melaungkan kalimah tabkbir, selain menghalang mereka membawa sepanduk tertentu memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Malah, ada juga peserta perhimpunan tersebut dianggap seperti Zionis sekali gus mengundang kecaman ramai.

Turut kesal dengan perkara itu adalah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang memberi respons di laman Facebooknya.

Dalam hantaran itu, Dr Muhamad Akmal mencadangkan penganjur berkenaan agar membuat perhimpunan sesama sendiri di pejabat masing-masing, sekiranya enggan membenarkan laungan takbir.

“Ini negara Malaysia, Islam adalah agama persekutuan.

“Maka, siapa anda mahu menghalang takbir dilaungkan?” soalnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilapor berkata, larangan penganjur seumpama itu dianggap satu tindakan ‘double standard‘.

Sementara itu, PAS dilapor akan menganjurkan satu himpunan bagi mengecam rejim pengganas Israel pada Sabtu ini, yang tidak melarang para peserta untuk menyatakan apa sahaja bentuk protes termasuk melaungkan kalimah takbir.

Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata himpunan itu akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara.

“Pada Sabtu ini di hadapan kedutaan AS, kita boleh takbir dan sebut perkataan Yahudi serta boleh mengecam Zionis. Kita tiada larangan penggunaan perkataan yang boleh dan tak boleh dalam menunjukkan kemarahan kepada Israel,” katanya dipetik sebagai berkata.

Author

Pilihan Editor