PENERBIT dan pengarah terkemuka, Datuk Yusof Haslam baru-baru ini menyatakan rasa terkilan kepada anak lelakinya, Syamsul Yusof yang sudah lama tak melawat dan menjejakkan kaki di rumah mereka.
Tambah Yusof Haslam, 69, dia dan isteri, Datin Patimah Ismail, sudah lama redha dan tidak menyimpan apa-apa rasa tidak senang hati kepada anak mereka itu.
Pengarah ini juga turut sebak apabila mengenang usia mereka yang hampir menjangkau 70 tahun tak lama lagi.
“Kami sudah nak menjangkau usia 70 tahun pada tahun depan, ramai rakan seperjuangan saya sudah pergi.
“Kepada anak saya, jangan tunggu sampai bapa kau sudah tak ada baru nak cari!
“Jangan anggap apa yang ibu bapa luah itu untuk merendahkan kamu. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik.
“Papa rasa jiwa kamu akan lagi tenang kalau kamu berbaik dengan ibu terutamanya dan keluarga.
“Wang bukan segala-galanya. Dalam solat kami sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya seperti dilapor Melodi.
Sementara itu, Yusof memberitahu kali terakhir dia bercakap dengan Syamsul menerusi telefon sekitar setahun yang lalu.
“Saya pun tak ingat bila, seingat saya tahun lepas masa mak mertua saya sakit. Ibunya ada hubungi dia, masa tu saya ada berbual kejap.
“Tapi sebelum tu, dah bertahun dia tak balik. Tak apa saya tak marah, saya anggap bukan-bukan,” luahnya.
Tambahnya, mungkin ada perkara yang membuatkan pengarah filem Munafik itu tidak berpuas hati dengan mereka.
“Kalau dia tak nak balik pun, terserah. Tepuk dada tanya selera,” akhirinya.