HomeBeritaKanak-kanak 2 tahun maut dilanggar van penumpang Thailand

Kanak-kanak 2 tahun maut dilanggar van penumpang Thailand

 

BESUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dilanggar sebuah van penumpang Jenis Toyota Hiace dari Thailand di Jalan Kampung Apal, Jertih, di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa Nur Aufa Insyirah Sulazmie, 2, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah van penumpang arah Yala, Thailand bersama sembilan orang penumpang dalam perjalanan menghala ke Kuantan, Pahang untuk ke tempat kerja.

“Apabila sampai ke lokasi kejadian pemandu van berkenaan terlanggar mangsa yang tiba-tiba melintas dari arah kiri ke tengah jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Rozak berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Punca kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Sekayen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saringan ujian air kencing pemandu warganegara Thailand berusia 37 tahun didapati negatif.

“Semua penumpang serta pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – Harian Metro

 

Author

Pilihan Editor