SEORANG lelaki warga emas bertindak membunuh seorang kanak-kanak lelaki dan mencederakan ibunya dalam kejadian pada pagi Sabtu lalu.
Lelaki itu yang merupakan tuan rumah kepada dua beranak berkenaan melakukan perbuatan kejam tersebut, atas alasan mereka menganut agama Islam, selain bertindak balas atas peperangan antara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Israel ketika ini, kata polis.
Timbalan syerif Will County yang menerima laporan kejadian di Plainfield Township, Illinois pada Sabtu lalu mendapati, suspek, Joseph Czuba tinggal di hadapan sebuah rumah berhampiran Lebuhraya Lincoln Selatan dan Lily Cache Road.
Czuba, 71, berlumuran darah akibat luka di dahinya, manakala di dalam kediaman dua beranak itu, polis menemui mayat kanak-kanak berdarah Palestin-Amerika yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kali ke-6.
Polis berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital dengan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia dan ibunya berada dalam keadaan kritikal.
“Kedua-dua mangsa diserang suspek kerana mereka beragama Islam dan konflik Timur Tengah yang berterusan melibatkan Hamas dan Israel,” kata Pejabat Sheriff Will County dalam satu kenyataan.
Menurut New York Post, hasil bedah siasat mendapati, kanak-kanak dikenali sebagai Al-Fayoume itu meninggal dunia, selepas ditikam sebanyak 26 kali menggunakan sebilah pisau gaya tentera.
Sementara itu, ibunya, Hanaan Shahin, 32, cedera parah selepas ditikam lebih daripada 12 kali.
“Kamu orang Islam mesti mati!” tengking suspek menerusi mesej yang dihantar kepada bapa mangsa sebelum kejadian itu.
Kedua beranak itu sudah menetap di tingkat bawah rumah Czuba selama kira-kira dua tahun, menurut The Council on American–Islamic Relations (CAIR) Chicago, yang mengutuk keganasan tersebut.
CAIR-Chicago menyifatkan serangan itu sebagai mimpi ngeri terburuk buat masyarakat Islam dan sebagai sebahagian peningkatan jenayah kebencian akibat konflik perang antara
Hamas dan Israel.
Kumpulan itu berkata, suspek menjadi berang dengan apa yang didengari dalam berita, sebelum mengetuk pintu rumah keluarga tersebut.
Apabila Hanaan membuka pintu, suspek bertindak mencekiknya dan menikam kanak-kanak tersebut, kata CAIR.
“Kanak-kanak Palestin dibunuh akibat radikalisme yang salah,” kata Presiden CAIR, Ahmed Rehab.
Pada masa sama, Czuba ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital untuk merawat luka di dahinya, kata polis.
Dia didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh, membunuh dan dua lagi pertuduhan melibatkan jenayah benci membabitkan senjata tajam.
Suspek juga kini ditahan di penjara Will County.
Sabtu minggu lalu, rejim pengganas Israel melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas ke atas Hamas, yang menyasarkan serangan mengejut di negara haram.
Serangan Hamas tersebut merupakan bantahan atas serbuan di Masjid Al-Aqsa dan peningkatan keganasan yang dilakukan oleh penduduk Yahudi terhadap rakyat Palestin.
Tindak balas Israel diperluaskan menerusi sekatan bekalan air, elektrik dan bahan api ke Gaza.
Menteri Tenaga Israel, Israel Katz pada Khamis berkata, kesemua bekalan itu tidak akan disediakan sehingga semua tebusannya dibebaskan.
Lebih 2,700 orang terbunuh sejak tercetusnya konflik pada hujung minggu lalu, yang menyaksikan korban lebih 1,400 rakyat Palestin dan 1,300 warga Israel.