HomeBeritaKilang di Kedah sorok 180 tan beras disita

Kilang di Kedah sorok 180 tan beras disita

 

ALOR SETAR: Sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan dalam serbuan oleh pasukan petugas khas Ops BPT, semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, tindakan menyita makanan ruji negara itu dilakukan selepas kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Katanya, beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo.

“Mengesyaki kilang itu kelakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen, pasukan Task Force Khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000.

“Sitaan dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini, hari ini.

Antara agensi dan jabatan yang terbabit dalam operasi itu adalah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).

Chan berkata, ia sitaan pertama dalam tempoh Op BPT dilaksanakan yang setakat ini merangkumi pemeriksaan terhadap lapan pemborong dan enam pengilang di negeri ini.

“Amaran keras kepada mana-mana pihak supaya patuh undang-undang yang ditetapkan. Kementerian dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja sama ada individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan.

“Jangan ambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, kilang terbabit boleh didenda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor