MASIH ingat Bidadari Syurga ini?
Razan al-Najjar. Sebaris nama yang pernah mencetuskan kemarahan dunia terutama pejuang Palestin pada 1 Jun 2018 lalu.
Siapakah Syahida ini?
Razan Ashraf Abdul Qadir al-Najjar adalah seorang gadis berusia 21 tahun yang bertugas sebagai sukarelawan paramedik di Hospital Nasser, Khan Younis.
Di saat ramai orang sebayanya menyibukkan diri dengan dunia, Razan telah menabur khidmat bakti dalam merawat rakyat Palestin yang tercedera sewaktu protes menentang Israel yang berlangsung di sempadan Gaza ketika itu.
Merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik, Razan al-Najjar membesar di dalam kancah peperangan iaitu peperangan yang berlaku pada tahun 2008-2009, operasi pertahan pada tahun 2012 dan seterusnya pada tahun 2014, iaitu ketika peperangan tujuh minggu di antara Israel dan Gaza.
Kesan peperangan pada tahun 2014, kawasan kejiranan rumahnya musnah teruk.
Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat Razan untuk berjuang demi bangsanya.
Seperti kebanyakan rakyat Palestin yang lain, Razan tidak mempunyai kemampuan untuk menyambung pelajarannya.
Lalu, dia mengambil kursus kaligrafi, dan seterusnya latihan kejururawatan yang akhirnya membolehkan dia menjadi sukarelawan paramedik.
Kisah yang dikongsi semula oleh pengguna aplikasi X @aisyahshahid, pada Jun 2018, berlakunya protes di sempadan antara Gaza dan Israel yang ketika itu umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.
“Razan, bersama-sama pasukannya, tidak putus tangan membantu mereka yang cedera.
“Masakan tidak, ibunya berkata yang anaknya akan keluar rumah jam 7 pagi, dan hanya pulang jam 8 malam.
“Saat sampai di rumah, tubuh anaknya akan penuh dengan tompokan dan percikan darah mangsa yang ditolong,” kongsinya.
Sehinggakan saat sebelum kematiannya, Razan al-Najjar menjadi seorang ikon dalam kalangan penduduk Tebing Gaza sendiri.
Malah, kebanyakan media pada ketika itu berkongsi gambarnya ketika sedang bertugas di media sosial menunjukkan betapa Syahida ini benar-benar ikhlas berbakti untuk bangsa dan negaranya, Palestin.
Namun begitu, Razan pernah memaklumkan kepada Al-Jazeera mengenai tentera Zionis sedang menyasarkan dirinya dan pernah menembak ke arahnya berkali-kali untuk melarang beliau memberikan bantuan kepada mangsa yang tercedera.
“Tetapi, Razan tak pernah takut dan gentar dengan si Zionis laknatullah.
“Bahkan, jiwanya semakin membara dan bersemangat untuk membantu bangsanya sendiri.
“Hinggalah ke tarikh keramat 1 Jun 2018, di mana akhirnya Razan al-Najjar telah dijemput pulang ke rahmat Allah,” tulisnya.
Ketika itu, Razan bergegas menyelamatkan seorang lelaki yang diserang dengan pemedih mata dan jarak mereka dengan sempadan Israel boleh dikatakan agak dekat.
Secara tiba-tiba, kedengaran tiga das tembakan dilepaskan ke arah Razan serta lelaki terbabit.
Selepas ditembak dengan kejam oleh tentera Zionis, Razan akhirnya syahid pada Jumaat ketiga di bulan Ramadan.
“Seorang sukarelawan paramedik yang sepatutnya tidak boleh diapa-apakan. Tetapi, si Zionis laknatullah membuktikan merekalah bangsa paling kejam sekali di atas muka bumi ini.
“Syahida itu memakai pakaian lengkap seorang paramedik ketika itu. Siap dengan sarung tangan pembedahan bagi menunjukkan yang dia bukanlah salah seorang demonstran.
“Dia adalah seorang paramedik yang sepatutnya ‘tak boleh disentuh’,” ceritanya.
Susulan kesyahidannya, tentera Zionis telah cuba membela diri dengan mengatakan mereka tidak pernah menyasarkan Razan Al-Najjar.
Kemudian, timbul pula kononnya sebuah video yang mengatakan Razan adalah perisai manusia pihak Hamas.
“Padahal, setelah disiasat, video itu adalah suntingan pihak Zionis daripada sebuah temubual Razan dengan satu rangkaian televisyen Lubnan.
“‘I’m here on the line being a protective human shield saving the injured.’ Tapi apa yang si Zionis zalim ini buat? Memutar belit cerita!” kongsinya lagi.
Begitulah kisah seorang syahida yang telah kembali ke rahmat Ilahi lima tahun lalu.