CYBERJAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan untuk segera mengusulkan mesyuarat tergempar bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), susulan krisis antara Palestin dan Israel ketika ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat itu perlu dilakukan bagi mengecam pencerobohan Israel dan menzahirkan solidariti dengan rakyat Palestin.
“PN amat prihatin dengan perkembangan membimbangkan di Semenanjung Gaza akibat keganasan rejim Israel.
“PN juga mengutuk pencerobohan berulang kali terhadap Masjid Al-Aqsa, yang ternyata menjadi antara sebab utama peningkatan ketegangan di rantau itu.
“Malah, PN turut mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin yang adil dan hak yang sah bagi rakyatnya. PN dengan tegas menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan tahun 1967,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 413 rakyat Palestin telah terkorban, manakala 2,300 lagi cedera ketika serangan Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari kedua pada Ahad.
Justeru, OIC menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menghentikan serangan Israel dan memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin.
Ia juga menyeru majlis itu menaja proses politik yang boleh dipercayai untuk menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya mengikut sempadan pada 4 Jun 1967, dan mencapai perdamaian yang adil dan komprehensif berdasarkan visi penyelesaian dua negara bagi setiap resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, masyarakat antarabangsa perlu bekerjasama untuk menangani krisis tersebut, selain berusaha ke arah penyelesaian yang aman dengan menghormati hak rakyat Palstin.
Gesanya lagi, masyarakat antarabangsa juga mesti bertindak pantas dan tegas untuk memaksa Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
“Israel mesti menghormati resolusi-resolusi antarabangsa yang telah diputuskan melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengakui hak serta sejarah rakyat Palestin.
“Masyarakat antarabangsa mesti menghalang peristiwa ini daripada menjadi alasan untuk serangan baharu Israel yang mengancam nyawa orang awam Palestin di Gaza,” tegasnya.