LEBIH 40 rakyat Palestin terkorban pada serangan hari ke-13, yang dilancarkan rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza.
Agensi berita WAFA pada Khamis melaporkan, lebih 30 orang terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis di bandar Rafah, dekat selatan Gaza.
Sementara itu, sembilan lagi rakyat Palestin termasuk tujuh kanak-kanak kehilangan nyawa ketika kediaman mereka di selatan Khan Yunis dibom pengganas Israel.
Malah, serangan Zionis turut mengorbankan seorang bayi di kem pelarian Nuseirat dan seorang kanak-kanak di barat Khan Yunis.
Kematian itu menjadikan jumlah rakyat Palestin terkorban akibat serangan Israel setakat ini adalah kira-kira 3,859 orang, manakala sekurang-kurangnya 13,500 lagi mengalami kecederaan.
Rejim Israel melancarkan serangan berterusan sejak 7 Oktober lalu, sebagai tindak balas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa secara mengejut.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.
Malah, lebih 1.1 juta rakyat Palestin juga dikerah dan dipaksa untuk berpindah dari Gaza.
Ketika dalam perjalanan untuk melakukan perpindahan, rejim Zionis mengambil kesempatan melakukan serangan bom, yang mengorbankan sejumlah besar rakyat Palestin.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), separuh daripada penduduk Palestin di Gaza telah kehilangan tempat tinggal dan masih terperangkap dalam wilayah itu.
PBB berkata, pengepungan Israel ke atas Gaza ditambah pula dengan pemindahan oramg awam secara paksa merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.