CYBERJAYA: Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) akan ditutup sementara waktu mulai pukul 5 petang Sabtu ini hingga pukul 4 pagi Ahad.
Perkara itu susulan memberi laluan bagi acara berbasikal malam tahunan RHB Lekas Highway Ride 2023 (Edisi ke-8).
“Sila ambil maklum bahawa Lebuhraya LEKAS akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada acara berbasikal RHB LEKAS HIGHWAY RIDE 2023 (8th Edition) pada 21/10/2023 (Sabtu, 5.00pm) hingga 22/10/2023 (Ahad, 4.00am).
“Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif serta merancang awal perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Pihak LEKAS mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna Lebuhraya,” maklum Lekas menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Difahamkan, penutupan jalan itu akan membabitkan jalan dari Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi dengan sejumlah sembilan simpang serta 20 laluan keluar masuk ditutup bagi memastikan kelancaran kayuhan dan keselamatan lebih 6,000 peserta.
Justeru itu, pengguna dari arah utara dan selatan seperti Kuala Lumpur, Cheras, Kajang, Seremban, Senawang serta Kuala Pilah disarankan menggunakan Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS untuk meneruskan perjalanan mereka
“Hubungi Infoline LEKAS di 1 800 888 021 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sebarang info mengenai acara berbasikal ini,” katanya.