HomeBeritaViralLelaki lagak samseng tendang jatuh motosikal, belasah 'rider'

Lelaki lagak samseng tendang jatuh motosikal, belasah ‘rider’

SETIAP negara pasti tidak terlepas dengan drama pengguna jalan raya, yang sewenang-wenangnya membuli orang lain yang dilihat lemah bagi menunjukkan kehebatan diri masing-masing.

Perkara tidak bermoral itu juga ditunjukkan di negara ini, apabila seorang individu bukan sahaja mengeluarkan kata-kata cacian, malah turut berani membelasah pengguna jalan raya lain.

Individu yang tidak dapat mengawal amarah itu bertindak membelasah dua individu lain dipercayai penghantar makanan di tempat awam baru-baru ini.

Menerusi video tular, lelaki berbadan gempal dan bertopi biru itu pada mulanya dilihat mencekak leher seorang pemuda berpakaian serba hitam dan bertopi keledar merah di atas sebuah pembahagi jalan.

Apahal kau kurang ajar dekat sini? Kau budak mana? ” jerit lelaki itu sebelum menumbuk muka dan perut mangsa.

Orang awam termasuk penghantar makanan lain yang turut berada di lokasi kejadian dilihat hanya mampu menenangkan lelaki tersebut dan memintanya untuk bersabar.

Dalam video berasingan, lelaki itu yang masih tidak berpuas hati semakin bertindak biadab, apabila menendang jatuh sebuah motosikal biru milik seorang penghantar makanan.

Meskipun perbuatan itu ditegur, lelaki lagak samseng itu tidak langsung mempunyai perasaan bersalah, sebaliknya memarahi semula penghantar makanan tersebut.

Tidak terhenti setakat itu, suspek kali ini bertindak menyerang seorang lagi lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar putih.

Dia dilihat menumbuk kepala dan menyepak mangsa sehingga ke tengah-tengah jalan raya sesak sambil disaksikan orang ramai.

Salah seorang rakan suspek kemudian memanggilnya sebelum lelaki itu masuk ke dalam kenderaannya untuk beredar.

Pada masa sama kereta jenis Proton Saga hitam berserta nombor plat milik suspek jelas terpampang pada video berkenaan.

Punca, masa serta lokasi sebenar kejadian yang tular sejak Isnin itu masih belum dapat dipastikan.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

 

 

Author

Pilihan Editor