KANGAR: Seorang lelaki direman lima hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dan pemalsuan dokumen membabitkan kerugian hampir RM8 juta sejak 2018.
Suspek berusia 47 tahun itu yang dipercayai bekerja sebagai nelayan itu ditahan petang semalan di Alor Setar, selepas enam minggu diburu polis berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang pelabur warga asing yang mendakwa kerugian hampir RM8 juta selepas diperdaya rakan niaganya di negara ini, pada 26 Ogos lalu.
“Mangsa mendakwa rakan niaganya dilantik sebagai pengarah syarikat bagi perniagaan pengilangan memproses serbuk ikan dan vitamin bagi pasaran tempatan serta luar negara yang beralamat di Kuala Perlis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan mendapati kejadian bermula sejak 2018 hingga 2020 yang mana suspek mengambil kesempatan ketika sekatan perjalanan dikuatkuasakan sewaktu penularan pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Suspek disyaki melakukan jenayah pecah amanah dan pemalsuan dokumen terhadap syarikat dengan menjual empat lot tanah milik syarikat mereka di Kuala Perlis kepada pihak ketiga.
“Perbuatan berkenaan dilakukan tanpa pengetahuan mangsa yang berada negara asalnya pada kejadian mengakibatkan anggaran kerugian sebanyak RM8 juta,” katanya.
Beliau berkata, polis melancarkan operasi ‘Ops Pekaka’ bagi mengesan kesemua suspek termasuk peguam dan pembeli yang dipercayai berada di beberapa negeri di utara tanah air dan sekitar Lembah Klang.
“Polis percaya mereka turut diperdaya suspek dan mengambil langkah awal dengan menyekat urusan diteruskan dengan memasukkan ‘kaveat’ atau pencegahan pendaftaran transaksi mengikut Kanun Tanah Negara (NLC) ke atas kesemua tanah milik syarikat mangsa.
“Suspek direman dua hari sehingga hari ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, pada masa sama kita memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga tempatan bernama Yong Kok Wah yang juga suspek utama dalam kes ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 409/471 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan pecah amanah,” katanya. – Berita Harian