HomeBeritaMBPP sita gerai warga asing

MBPP sita gerai warga asing

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita empat gerai warga asing dalam operasi bersepadu pasar malam bagi membanteras peniaga warga asing di kawasan Barat Daya petang kelmarin.

Selain itu, tujuh warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah turut ditahan dalam operasi tersebut.

MBPP berkata, Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan Operasi Bersepadu Pasar Malam Bagi Membanteras Peniaga Warga Asing di kawasan Barat Daya itu.

“Unit Perniagaan Kecil MBPP telah memeriksa sebanyak 123 penjaja di pasar malam tersebut dan telah merampas barang perniagaan dari empat gerai warga asing yang menjual buah-buahan dan bantal serta karpet.

“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan kepada pekerja-pekerja gerai menjual makanan yang tidak mengambil suntikan anti-tifoid,” kata MBPP dalam satu kenyataan.

Maklum MBPP, pihaknya turut memeriksa lima premis perniagaan dan telah mengeluarkan satu Notis Tentang Kesalahan kepada premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen manakala satu Notis Tentang Kesalahan dan tiga kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan meletak peralatan dan barangan jualan di siarkaki yang mendatangkan halangan.

Justeru, MBPP menasihatkan para penjaja supaya mengutamakan kebersihan persekitaran dan peralatan perniagaan.

“Operasi bersepadu seumpama ini akan dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa dengan penglibatan lebih banyak agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor