PEPERANGAN yang berlaku di bumi Palestin dek kerana konflik membabitkan zionis Israel yang meragut nyawa ribuan mangsa tidak berdosa nyata membuatkan umat Islam di seluruh dunia turut berduka.
Jika sebelum ini, sebuah masjid yang dibina badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia musnah dibedil tentera Israel, terbaru sebuah bangunan di utara Gaza yang juga hasil sumbangan negeri Kelantan juga telah musnah menyembah bumi.
Menerusi hantaran di X, seorang aktivis Palestine, Numan Mazlan menyatakan bangunan itu merupakan bangunan yang tertinggi di situ, namun kini sudah hancur musnah.
“Menara ini merupakan bangunan yang telah dibina semula hasil sumbangan Sultan Kelantan, kerajaan Kelantan, rakyat Kelantan serta Aid4Palestine,” tulisnya.
Berdasarkan foto-foto yang dikongsikan Numan dalam hantaran sama, kelihatan tarikh bangunan itu dibaiki dan dibina semula pada tahun 2021 dengan jumlah pembiayaan sebanyak USD190,000 (RM 907,829) hasil sumbangan kerajaan Kelantan.
Untuk rekod, Malaysia adalah antara negara yang bersolidariti bersama Palestin.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu turut menyatakan komitmen Malaysia membantu Palestin dengan penyaluran dana RM10 juta.