PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menetapkan sebarang jumlah minimum pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam berkata, perkara yang perlu diberi keutamaan adalah kestabilan liga, selain mengelakkan isu tunggakan gaji.
Beliau berkata, pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji sudah pun diambil tindakan dengan mengenakan hukuman denda dan menolak mata ke atas pasukan yang bermasalah.
“Pada hujung musim juga kita terpaksa tak beri lesen kepada dua pasukan.
“Perkara sama mungkin dapat dielakkan tapi khabar angin mengatakan ia akan berlaku lagi dan kami akan ambil tindakan sepatutnya untuk memastikan liga dapat dilaksanakan,” jelasnya selepas majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di Hotel Sheraton, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai proses perlesenan kelab untuk Liga Malaysia musim depan.
Tambahnya, semua pasukan sudah pun melengkapkan dokumen perlesenan yang diperlukan, manakala ia kini sedang diteliti oleh First Instance Body (FIB).
Jelasnya, dokumen itu perlu diperiksa bagi memastikan kesahihan maklumat seperti kedudukan kewangan pasukan, dan pembayaran agensi atau gaji.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada keperluan untuk mengadakan saingan Liga Perdana pada musim depan.
Katanya, ini memandangkan pihaknya tidak melihat sebarang pasukan yang boleh mengisi saingan liga tersebut.
“Jadi, tahun depan MFL akan bergabung dengan AFL (Amateur Football League) untuk melaksanakan lebih pembangunan kelab di AFL.
“Ini juga bagi memastikan kelab M3 jadi lebih berkaliber untuk mengisi ruang menjadi di divisyen 2 (M2). Tapi semua sedia maklum M3 masih jauh dari M2,” katanya.