HomeBeritaMyKad lebih baik, ID beli barangan bersubsidi punca kerenah birokrasi panjang -...

MyKad lebih baik, ID beli barangan bersubsidi punca kerenah birokrasi panjang – Penganalisis

CYBERJAYA: Kaedah pembelian minyak masak peket bersubsidi menggunakan pengenalan diri (ID) khas yang bakal dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun depan, nampaknya kurang mendapat persetujuan daripada pakar-pakar ekonomi.

Terdahulu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar itu akan menggunakan mekanisme ID dan telah disahkan layak.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba tidak menolak kemungkinan sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab akan meniru ID tersebut.

Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan agar mengaplikasikan sistem food stamps atau baucar makanan, untuk rakyat yang layak mendapatkan barangan subsidi bersasar pada masa akan datang.

Malah, penganalisis ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul dilapor menyifatkan idea tersebut menimbulkan pelbagai persoalan selain sukar untuk dilaksanakan.

Turut tidak bersetuju, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, penggunaan ID itu akan menyebabkan kerenah birokrasi yang lebih panjang.

Barjoyai

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu turut berkata, ia akan menyebabkan setiap isi rumah terpaksa membawa pelbagai kad untuk pelbagai urusan ketika keluar rumah.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan untuk mengubahsuai kad pengenalan (MyKad), supaya semua maklumat berkaitan pembelian barang bersubsidi akan dikumpul di dalam satu pangkalan data.

“Kenapa tidak guna virtual card? Kalau guna virtual card, data boleh dimasukkan ke dalam MyKad?

“Selain itu, penggunaan MyKad juga boleh jadi virtual stamps. Sebagai contoh, seseorang individu diberikan kredit RM100 untuk baucar bagi membeli barangan bersubsidi seperti minyak masak peket.

“Jadi, apabila individu tersebut membeli minyak masak di mana-mana premis, dia perlu menunjukkan MyKad miliknya kepada juruwang dan dari situ kreditnya akan dipotong,” jelasnya.

Ketika ini, antara barangan keperluan asas yang disubsidi kerajaan termasuk beras, minyak masak peket, gula pasir, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), bahan api diesel dan minyak petrol RON95.

Author

Pilihan Editor