CYBERJAYA: Penduduk Kampung Kemensah terutamanya pekebun memohon kelonggaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk menjalankan pertanian di atas tanah yang telah diusahakan lebih 30 tahun.
Perkara itu susulan insiden dua pekerja kebun yang sedang memesin rumput di kawasan terbabit ditahan dan direman selama tiga hari atas dakwaan menceroboh.
Menurut Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kampung Kemensah, Mohd Zaharuddin Ismail, tanah yang diusahakan oleh pekebun merupakan tanah rizab Melayu sebelum diubah status ke hutan simpan di bawah kawalan JPNS sejak 2010.
Tambahnya, seramai 74 pekebun dan pengusaha terkesan dengan tindakan JPNS yang menahan mereka daripada melakukan aktiviti pertanian dan perniagaan di kawasan tersebut.
“Kami telah membuat permohonan sebanyak empat kali sejak 2014 ke JPNS selain ke Pejabat Tanah Daerah Gombak bagi membolehkan kami beroperasi secara sah.
“Ada sebahagian telah diberi geran, ada juga diberi lesen menduduki sementara (TOL) selain terdapat antara kami yang permohonan masih tiada jawapan. Kami terus memohon sehingga hari ini.
“Isu ini juga pernah kami suarakan kepada menteri besar untuk diselesaikan.
“Jika tak boleh keluar geran, dapat permit guna pakai pun tak apa asalkan ada hitam putih untuk kami menduduki tanah ini,” katanya.
Zaharuddin menjelaskan, selain menanam pokok buah-buahan terdapat juga penduduk di situ menjana sumber ekonomi melalui aktiviti jualan kepada orang luar.
Dalam pada itu, mereka dinasihati untuk tidak ke kawasan tersebut bagi sementara waktu susulan insiden penahanan dua penduduk berkenaan.Â
“Kami akan cuba cari jalan untuk memohon pertimbangan JPNS. Harapan saya isu ini dapat diselesaikan secara baik bagi membolehkan kami teruskan bercucuk tanam seperti biasa.
“Dulu kawasan ini hutan belantara, tiada yang mahu usahakan namun kini lokasi ini menjadi tumpuan termasuk kehadiran ribuan pengunjung untuk aktiviti pendakian yang turut jana ekonomi buat penduduk di sini,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Nur Shima Abdullah, 23, berkata, tanaman sayuran serta ubi kayu diusahakan mereka turut dimusnahkan kerana dakwaan menceroboh hutan simpan.
“Saya tak faham apabila kami turut diambil tindakan oleh JPNS sedangkan kami bukan pendatang tetapi adalah pribumi.
“Kenapa kami dilayan seperti ini, takkan mahu suruh kami pindah masuk ke hutan lebih dalam lagi?
“Saya merupakan generasi ketiga yang nenek moyang telah duduki kawasan ini sejak zaman Jepun. Apabila tindakan penguatkuasaan diambil, kami jadi keliru dan harap JPNS dapat jelaskan isu ini,” luahnya.