TELUK INTAN: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 terhadap seorang pembantu kedai kerana memiliki 19,011 gambar dan video lucah kanak-kanak yang disimpan dalam pemacu pena.
Tertuduh, Liew Ming Hui, 24, turut berdepan hukuman penjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Majistret T. Ashvinii menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh yang masih bujang itu mengaku bersalah di hadapan, lapor Kosmo pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki bahan pornografi iaitu satu unit ‘memory card’ (pendrive) yang mengandungi video dan gambar melibatkan kanak-kanak.
Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Langkap di dalam daerah Hilir Perak pada pukul 4.20 petang, 29 Mei 2023.
Pendakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.
Terdahulu, Pereira memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan telah insaf dan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh namun Izzuddin Fakri memohon mahkamah memberi hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
Dalam prosiding sama, Pereira memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya membuat rayuan, namun permohonan ditolak dan mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dia disabitkan bersalah, hari ini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Langkap.
Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis membuat rampasan barang kes iaitu sebuah komputer riba, satu unit adaptor komputer dan satu unit pemacu pena.
Berdasarkan siasatan, didapati terdapat sebanyak 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar kanak-kanak pornografi di dalam pemacu pena yang dirampas di tempat tinggal dan juga dalam milikan tertuduh.