KECEWA. Itulah yang dirasai seorang lelaki yang juga pemilik restoran Mee Warisan, Rafidi Asnan, apabila konsep kedai makannya ditiru ‘bulat-bulat’ oleh pihak lain yang turut beroperasi bersebelahan dengan kedainya.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Rafidi turut memuat naik foto memaparkan papan tanda kedai terbabit yang hampir sama dengan papan tanda restoran Mee Warisan.
Jika diamati, hanya nama produk sahaja yang berbeza dengan menggunakan nama ‘Kopi Warisan’.
“Masuk tahun keempat, kami bermula ketika PKP. Ketika pergerakan kita terbatas. Kedai kecil yang boleh beroperasi 2-3 org saja dan pernah kerja seorang saja.
“Marketing dan promosi hanya pada kawan-kawan rapat, kawan-kawan sekolah. Promosi mulut ke mulut ni ambil masa sedikit tapi kesan dia kami ada ramai pelanggan setia.
“Minggu lepas ada orang baru yang tak dikenali menyewa sebelah kami. Guna design signboard yang hampir sama, malah menggunakan salah satu signature kami sebagai nama kedai. Jalan mudah kan? Apa niat owner ni sebenar?,” tulisnya.
Dalam pada itu, Rafidi turut akui bahawa 2024 adalah tahun yang begitu mencabar buat dirinya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga maya turut keliru dan beranggapan restoran Mee Warisan dan Kopi Warisan itu adalah satu cawangan yang sama.
Malah, ada juga yang mencadangkan supaya Rafidi menukar papan tanda baharu bagi mengelakkan kekeliruan berlaku.
“Untuk saya sebagai pelanggan baru , saya akan ingat kedai ni owner yang sama. Apa kata tuan tukar signboard baru,” cadang seorang warga net.
“Kalau meniru kenapa nama owner macam sama dengan sign board kiri dan kanan? Ke saya salah tengok?” soal seorang lagi netizen yang keliru.
“Ni namanya serampang dua mata. Menumpang brand besar hanya dgn kopipes warna dan design. Customer tak perasan pasti akan keliru/tersalah masuk,” tulis netizen.
Restoran Mee Warisan adalah salah satu kedai makan popular yang menyajikan hidangan seperti wantan mee, mee daging dan tomyam.
Restoran ini terletak Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan.