PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa perang negara haram, Israel dengan rakyat Palestin boleh merebak jauh ke luar Asia Barat, sekiranya pertumpahan darah di rantau itu tidak dihentikan segera.
Lapor Press TV, Putin membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan pemimpin pelbagai agama Rusia di Kremlin pada Rabu.
Beliau berkata, rejim pengganas Israel sedang menghukum golongan tidak bersalah di Gaza termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Pemimpin Rusia itu berkata, beliau membuat panggilan telefon bersama pemimpin dunia lain dan mengingatkan bahawa, sekiranya pertumpahan darah itu tidak terhenti, terdapat risiko keganasan yang lebih meluas.
“Tugas kita hari ini, tugas utama kita adalah untuk menghentikan pertumpahan darah dan keganasan.
“Jika tidak, krisis ini semakin meruncing dengan akibat yang serius, berbahaya serta merosakkan. Ia bukan sahaja terjadi di rantau Timur Tengah, malah boleh merebak jauh di luar sempadan Timur Tengah, ” katanya menurut transkrip ketika mesyuarat itu.
Pada masa sama, Putin menyelar kuasa Barat tertentu yang dilihat sedang berusaha untuk mencetuskan peningkatan konflik, selain menarik sebanyak mungkin negara dan rakyat lain ke dalamnya.
Tambahnya, ia bermatlamat untuk melancarkan gelombang sebenar huru-hara dan kebencian bersama bukan sahaja di Timur Tengah malah di luar sempadannya.
“Malah, mereka cuba mempermainkan perasaan kebangsaan dan agama berjuta-juta orang,” katanya.
Jelasnya lagi, Rusia terus menyokong penyelesaian dua negara bagi isu Palestin-Israel sebagai satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian jangka panjang.
Beliau juga meletakkan kesalahan ke atas Israel kerana terus mengebom Gaza sebagai tindak balas serangan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).
Setakat ini, lebih 6,500 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 2,700 kanak-kanak, manakala lebih 18,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.
Malah, lebih 1.1 juta rakyat Palestin juga dikerah dan dipaksa untuk keluar dari Gaza.