KUALA LUMPUR: Seramai 38 lelaki termasuk pengurus dan pekerja ditahan dalam serbuan di empat buah premis hiburan dikuasai warga asing, di Kompleks Wilayah dekat Jalan Dang Wangi di sini, awal pagi Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pusat-pusat hiburan itu diuruskan oleh warga Bangladesh termasuk seorang warga Pakistan.
“Dalam serbuan ini, kita mendapati pengurus, pekerja, pelayan dan pelanggan rata-rata merupakan warga Bangladesh.
“Kita turut melakukan pemeriksaan ke atas 113 orang pelanggan dari pelbagai warganegara termasuk paling ramai dari Bangladesh iaitu seramai 65 orang,” katanya seperti dilapor Utusan TV.
Selain itu, turut ditahan adalah 23 warga Pakistan, lapan warga India, enam warga Nepal, seorang warga British, dan 10 warganegara Malaysia.
Mengulas mengenai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan, pihaknya akan mengenal pasti sama ada wujud mangsa pemerdagangan orang yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam kalangan mereka.
Katanya, perkara itu menjadi fokus operasi serbuan itu berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Menurut beliau, premis-premis berkenaan telah beroperasi antara tiga bulan sehingga setahun, namun memiliki lesen perniagaan milik individu lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 12 (1)(F) Akta Pasport.
Sementara itu, Rusdi turut memberitahu bahawa, pihak polis telah menahan seramai 98 orang dalam serbuan di pusat hiburan Trillion Club di Serdang pada Sabtu lalu.
Katanya, tangkapan dalam serbuan sekitar jam 11.45 malam itu adalah termasuk pekerja-pekerja warga tempatan dan pelayan warga asing lelaki dan wanita.
“Premis ini berkonsepkan pub terbuka dan bilik karaoke dengan pakej harga bermula RM800 sehingga RM2,000.
Hasil pemeriksaan air kencing ke atas 18 individu warga tempatan yang berhibur di dalam bilik karaoke mendapati, seramai 15 orang daripadanya positif dadah jenis ketamin.
Sementara itu, serbuan turut dijalankan di sebuah pusat hiburan Mosco Club di Taman Tampoi Indah di Johor Bahru pada 12 Oktober lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan seramai 99 orang individu termasuk berperanan sebagai pengurus, juruwang, pelayan dan pelanggan.