HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis tahan ayah ‘ratah’ anak tiri hampir tiga tahun

Polis tahan ayah ‘ratah’ anak tiri hampir tiga tahun

Tindakan keji seorang ayah merogol anak tirinya yang berusia 11 tahun sejak tiga tahun lalu terbongkar, selepas dia diberkas polis kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas susulan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 12.30 tengah hari, hari sama.

Menurutnya, mangsa memberitahu kejadian menimpanya kepada guru kaunseling di sekolahnya yang dia telah dirogol suspek sejak berusia sembilan tahun.

“Berdasarkan siasatan, kali terakhir suspek melakukan perlakuan terkutuk itu di sebuah pondok di dalam kawasan kebun di Air Ganda pada pukul 3 petang, Selasa lalu.

“Kanak-kanak perempuan itu telah pun dibawa untuk pemeriksaan oleh doktor pakar kanak-kanak di Hospital Taiping dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan koyakan lama pada bahagian kemaluan,” katanya memetik laporan Kosmo.

Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai petani itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol. Sebaik sahaja siasatan selesai, kita akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor