SEORANG wanita ditahan polis di Paris, Perancis, gara-gara mengucapkan ucapan salam yang digunakan oleh umat Islam.
Laporan itu dibuat oleh jirannya selepas wanita itu mengucapkan Assalamualaikum, kepada beberapa kakitangan di bangunan hostel milik syarikatnya bekerja.
Dalam bahasa Arab, Assalamualaikum bererti ‘selamat sejahtera ke atas kamu semua’.
Setelah ditahan beberapa ketika, wanita itu kemudian dibebaskan dengan jaminan pihak polis.
“Dengan mengambil kira situasi semasa, kami tidak boleh mengambil risiko,” kata polis seperti dilapor Middle East Monitor.
Situasi semasa itu merujuk kepada serangan bom dilakukan rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza selain pemindahan secara paksa ke atas dua juta penduduk Palestin, berikutan operasi Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di wilayah yang diduduki pada minggu lalu.
Sementara itu, wartawan Perancis, Widad Ketfi yang mengesahkan penahanan wanita itu melaporkan bahawa, peguam mangsa, Nabil Boudi juga mahu memfailkan aduan berhubung fitnah yang dikenakan ke atasnya.
Sejak pertempuran baharu bermula, Israel telah menyekat bekalan elektrik, air, bahan api makanan dan segala bentuk bantuan daripada memasuki Semenanjung Gaza.
Malah, rejim pengganas juga telah meningkatkan serangan bom, sekali gus memaksa penduduk Palestin berhijrah ke sempadan Mesir yang kekal ditutup.
Serangan itu merupakan salah satu usaha Israel untuk melakukan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Di Eropah dan dunia barat, krisis antara Palestin dan Israel menimbulkan ketegangan sama ada memilih untuk pro-Palestin atau pro-Israel.
Akibat daripada itu, serangan berpunca daripada Islamofobia dijangka terus meningkat.