ANGKASAWAN NASA akan ke angkasa dengan penuh gaya, apabila pereka fesyen mewah Prada membantu mereka bentuk sut angkasa untuk misi ke Bulan 2025.
Pereka fesyen Itali itu akan mereka bentuk sut itu bersama syarikat swasta lain, Axiom Space.
Dalam kenyataan akhbar, Axiom berkata, Prada akan membawa kepakaran dengan bahan dan pembuatan kepada projek itu.
Seorang angkasawan memberitahu BBC bahawa Prada mampu menyahut cabaran itu kerana pengalaman reka bentuk mereka.
Pengalaman itu telah dibina bukan sahaja di pertunjukan fesyen di Milan tetapi juga melalui penglibatan Prada dalam pertandingan pelayaran Piala Amerika.
“Prada mempunyai banyak pengalaman dengan pelbagai jenis fabrik komposit dan mungkin sebenarnya boleh memberikan beberapa sumbangan teknikal sebenar kepada lapisan luar sut angkasa lepas baharu,” menurut Profesor Jeffrey Hoffman, yang menerbangkan lima misi NASA dan telah menjalankan empat penjelajahan angkasa lepas.
Tetapi dia berkata, orang ramai tidak boleh mengharapkan untuk melihat angkasawan dalam “pakaian angkasa lepas bercorak paisley atau apa-apa corak mewah seperti itu. Mengekalkan persekitaran terma yang baik adalah perkara yang kritikal”.
“Sut angkasa benar-benar seperti kapal angkasa kecil. Ia perlu memberikan tekanan, oksigen, memastikan anda berada pada suhu yang munasabah,” tambahnya.
Awal tahun ini, Axiom melancarkan pakaian angkasa lepas, yang dikatakan akan dipakai pada misi Artemis 3 yang akan datang.
Pakaian itu seberat 55kg dan dikatakan lebih sesuai untuk angkasawan wanita.
Dalam kenyataan akhbar, Artemis dan Prada berkata, mereka akan menggunakan “teknologi dan reka bentuk yang inovatif” untuk membolehkan “penerokaan permukaan bulan yang lebih hebat berbanding sebelum ini”.
Misi Artemis 3 akan menjadi pendaratan kali pertama kru di Bulan sejak Apollo 17 pada tahun 1972 dan akan membawa wanita pertama mendarat di Bulan dalam kru iaitu Christina Koch. – BBC