JOHOR BAHRU: Guru direkodkan sebagai penjawat awam paling ramai di Johor menjadi mangsa skim penipuan termasuk dalam talian seperti ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan ‘Parcel Scam’.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan statistik sembilan bulan pertama tahun ini, sejumlah 117 kes penipuan membabitkan guru sebagai mangsa dengan nilai kerugian lebih RM4.24 juta.
“Siasatan kita mendapati di Johor ada lebih 50,000 guru, jadi mungkin itulah salah satu faktor kenapa ramai guru (jadi mangsa) di negeri ini.
“Kumpulan ‘scammer’ tak pilih mangsa, tetapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini jadi itulah yang menyebabkan mereka menjadi mangsa.
“Sebab itu kita ambil peluang ini menjemput guru-guru untuk hadir sesi ‘town hall’ supaya dapat bantu beri penerangan dan mendidik mereka bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program ‘Town Hall’ : Ancaman ‘Scammer’ Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini yang dihadiri 250 guru hari ini.
Kamarul Zaman berkata, sepanjang tempoh sama juga Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menerima 388 laporan kes penipuan membabitkan penjawat awam.
“Jumlah itu meningkat berbanding 322 kes bagi tempoh sama tahun lalu, dengan nilai kerugian dicatatkan lebih RM10.02 juta setakat ini,” katanya. – Berita Harian