HomeBerita'Saya hampir ditendang keluar...' - Azizulhasni kongsi saat getir gara-gara 'Save Gaza'

‘Saya hampir ditendang keluar…’ – Azizulhasni kongsi saat getir gara-gara ‘Save Gaza’

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi detik kemenangannya yang hampir dibatalkan gara-gara memakai sarung tangan dengan tulisan ‘Save Gaza’.

Kongsinya, kejadian itu berlaku pada tahun 2014 dalam satu kejohanan besar di Eropah yang pada ketika itu dia bersaing dengan pelumba dari England.

Menurutya, tujuannya berbuat demikian adalah untuk menyampaikan mesej kemanusiaan bagi seluruh dunia tahu keadaan di Gaza.

“Pada Julai 2014, saya hampir di tendang keluar dari perkampungan sukan dan penyertaan saya di satu kejohanan besar di Eropah hampir dibatalkan.

“Ketika itu saya berlumba dengan pelumba dari England dan sejurus selepas memenangi perlumbaan tersebut, saya mengangkat kedua belah tangan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia.

“Ketika sepanjang kejohanan tersebut, Gaza teruk bertalu-talu di bom oleh tentera laknatullah. Ramai yang menjadi mangsa dan terkorban termasuk wanita, anak-anak kecil dan bayi. Lagi memburukkan keadaan ketika itu adalah di bulan Ramadhan. Bulan suci umat Islam.

“Alasan yang diberikan untuk membatalkan penyertaan saya adalah kerana saya menyampaikan mesej politik di pentas sukan,” tulisnya di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, The Pocket Rocketman itu turut kesal dengan sikap penganjur pada ketika itu yang disifatkan amat hipokrit.

“Lihat betapa hipokritnya mereka, pelbagai cara mereka lakukan untuk menutup mulut, telinga dan mata dunia. Namun, apabila giliran mereka semuanya boleh pula.

“Sebagai contoh peperangan antara dua negara sebelum ini, mereka satu dunia menyatakan sokongan kepada satu negara tersebut secara terbuka dan ianya dikatakan oleh mereka sebagai freedom of speech dan juga humanitarian support,” katanya.

Dalam pada itu, Azizul turut berharap orang ramai khususnya umat Islam kekal memberi sokongan kepada penduduk di Palestin.

“Ada pelbagai cara dan pelbagai ruang untuk membantu mereka disana. Bantulah mereka mengikut kemampuan diri kita tetapi yang paling penting adalah sekurang-kurangnya kita melakukan sesuatu.

“Jangan pernah ragu dengan segala ketetapan Allah kerana janji Allah itu adalah pasti,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor