“SAYA bangga dengan tindakan Kak Liza yang bangkit bersuara apabila diejek kerana rupa. Saya pernah melalui situasi faceshaming dan bodyshaming.”
Itulah ungkapan penyanyi, Aina Abdul ketika ditanya berhubung isu rakan seindustri, Liza Hanim yang menerima komen berbentuk hinaan terhadap rupa paras baru-baru ini.
Menurut Aina, menjadi penggiat seni sememangnya sukar untuk mereka menghentikan apa sahaja kecaman dan komen negatif namun dalam pada masa sama, dia berharap agar warganet tidak terlalu melampau.
“Kita semua anak seni, tak boleh nak hentikan kecaman. Apa yang kita boleh buat, teruskan kerja dan usaha. Saya sendiri berdepan perkara sebegitu. Kecwa bila ada yang berfikiran begitu.
“Kepada yang menulis, saya memang tak boleh buat apa-apa. Cuma jagalah ayat dan perkataan anda. Kita tak tahu apa perasaan dan hati mereka yang berdepan kecaman sebegitu.
“Mungkin ada yang sukar memaafkan dan melupakan apa yang telah berlaku. Jadi berbaiklah sesama manusia. Kecantikan itu semua adalah milik Allah. Bukan milik sesiapa,” katanya seperti dilapor Utusan.
Pelantun lagu Semalam itu berkata demikian sewaktu ditembual sebuah stesen radio seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aina yang baru sahaja melancarkan lagu baharu, Jangan Mati Rasa Itu berkata, dia mahu memeluk Liza sekiranya bertemu dengan penyanyi bersuara emas itu.
“Saya sedih bila seorang penyanyi hebat seperti Kak Liza perlu berdepan semua itu. Kalau jumpa dia nanti, saya nak peluk kuat-kuat.
“Kepada Kak Liza dan sesiapa sahaja yang berdepan faceshaming serta body shaming, kuatkan hati kita semua. Teruskan berkarya,” katanya.